Tarikh: 06 – 08 Mei 2025
Tempat: Kampung Tekek, Kampung Salang, Kampung Mukut dan Kampung Juara
Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) telah menganjurkan Program Hari Bertemu Pelanggan pada 6 Mei 2025 sehingga 8 Mei 2025 di Kompleks Terminal Kampung Tekek dengan penglibatan lebih kurang 20 agensi kerajaan dan swasta. Pejabat Agama Islam Daerah Rompin merupakan salah satu agensi yang telah turut serta dalam program ini. Pejabat Agama Islam Daerah Rompin telah membuka satu kaunter perkhidmatan sempena program ini. Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk:
– Pertanyaan mengenai urusan nikah, cerai, dan rujuk
– Penerangan berkaitan penguatkuasaan undang-undang syariah
– Pengurusan masjid dan surau
Inisiatif ini telah memberi peluang kepada orang ramai untuk berinteraksi secara langsung dengan pegawai-pegawai Pejabat Agama Islam Daerah Rompin serta mendapatkan maklumat dan menyelesaikan permasalahan mereka dengan lebih mudah dan dekat.
Al-Fadhil Qadhi Daerah Rompin, Tuan Haji Bunyamin bin Abdul Ghani, telah menjadi salah seorang ahli panel dalam forum bersama pihak Zakat dan Wakaf Pahang yang bertajuk “Mencari Keredhaan Ilahi”. Forum ini telah diadakan pada sebelah malam di Masjid Kampung Juara Pulau Tioman.
Al-Fadhil Qadhi Daerah Rompin, Tuan Haji Bunyamin bin Abdul Ghani turut serta dalam lawatan ke Kampung Mukut bersama beberapa agensi lain seperti Agensi Zakat dan Wakaf Pahang, Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) dan Sultan Ahmad Shah Medical Centre (SASMEC). Lawatan ini bertujuan untuk memberi penerangan dan info kepada penduduk kampung berkaitan zakat dan wakaf, pengurusan masjid dan rawatan perubatan. Selain itu, Pegawai Hal Ehwal Islam Pejabat Agama Islam Daerah Rompin Cawangan Pulau Tioman, Ustaz Ahmad Tajuddin bin Aziz, bersama pegawai Wakaf Pahang telah mengadakan lawatan tapak tanah wakaf Surau Kebenaran Jumaat di Kampung Salang, Pulau Tioman. Penyertaan Pejabat Agama Islam Daerah Rompin dalam Program Hari Bertemu Pelanggan ini telah berjaya memperkukuh hubungan antara masyarakat setempat dengan institusi agama serta memperluas lagi capaian perkhidmatan yang ditawarkan.